Hidup Berpura Jadi Budaya


Zaman ini hidup kepura-puraan telah menjadi budaya

Penyakit kepura-puraan ini hampir semua golongan diserangnya,

tidak ada kecualinya

Terutama kehidupan orang-orang politik apatah lagi sangat ketara

Mengajak orang bersatu, tapi sikap, cara hidup hariannya membohonginya

Membantu orang-orang miskin konon kasihan, dan prihatin

Sebenarnya hendak nama, glamor, agar disokong di dalam pilihanraya

Para-para ulamak, pendakwah-pendakwah, nampak lahirnya cintakan Allah dan agama

Tidak dapat juga dielakkan daripada hendak nama dan glamor

Riyak, megah, terbayang di mukanya

Kalau benar kerana Allah dan agama, sikap, hidup harian,

berkeluarga, bekerja, tentu sekali nampak syariatnya

Anak isteri mereka terbiar tanpa pun cintakan Tuhan,

tidak susah hati pun mereka melihatnya

Sepatutnya selepas diri, anak isterilah yang lebih dahulu dijaga

akidah dan syariatnya

Ahli-ahli ibadah yang rajin datang ke masjid,

sekilas pandang nampaknya ahli ibadah

Tapi nampaknya ibadahnya ala kadar sahaja,

berbual-buallah yang banyak menjadi budaya

Masjid sudah jadi tempat berborak-borak tentang dunia

Rosak pula rumah Allah Taala dibuatnya

Rumah Allah fungsinya telah rosak

Ada golongan tertentu mengajak orang cintakan agama, bangsa dan negara

Mereka melaungkan slogan di mana-mana

Marah-marah kepada orang tidak cintakan agama, bangsa dan negara

Kalau kita lihat sikap dan tindak-tanduk kehidupan mereka, kita sangsi pula

Tanda-tanda cintakan agama, bangsa dan negara tidak ada padanya

Kita nilai slogan-slogan mereka kepura-puraan sahaja

Tidak ada buktinya yang nyata

Begitulah seterusnya gotong-royong di mana-mana sudah jadi budaya

Setengah mereka ikut gotong-royong,

kerana hendak menjaga hati masyarakatnya

Kalau bukan kerana itu, gotong-royong apa perlunya

Di dalam kepentingan bersama

di dalam masyarakat bersama pun ada kepura-puraan

Setengah orang masyarakat tahu yang dia pura-pura

Tapi dia tidak terasa malu,

kerana sudah ramai manusia yang berlakon begitu,

apa hendak malu

Begitulah hidup kepura-puraan telah menjadi budaya

Apa sudah jadi dengan bangsa ini?!

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi